Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kejadian tanah runtuh yang agak serius dikesan berlaku di kilometer 49 dan kilometer 54 apabila runtuhan tersebut hampir menutup laluan utama.

Seorang penduduk, Ibrahim Mat Hassan, 60, yang sering menggunakan laluan itu berkata, hujan lebat akan memburukkan lagi keadaan kerana tanah runtuh berlaku dengan lebih kerap di sepanjang jalan tersebut.

Katanya, rekahan cerun dan batu yang sering terjatuh menghempap jalan juga amat berbahaya kerana boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Pihak berkuasa perlumengambil tindakan segera untuk membaik pulih jalan ber­kenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini. Jalan itu perlu diselenggarakan secara berkala selain wajar dibuat benteng yang kukuh,” katanya.

Penduduk Orang Asli, Zubir Andol, 21, pula berkata, selain kejadian tanah runtuh, aliran lumpur di sepanjang jalan berkenaan kerap berlaku ketika musim tengkujuh juga boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Katanya, keadaan paling berbahaya ketika waktu malam apabila pengguna tidak nampak tanah runtuh atau lumpur di hadapan kerana tiada lampu jalan.

“Baru-baru ini seorang penduduk Orang Asli telah cedera akibat kemalangan ekoran tanah runtuh itu turut membawa sisa lumpur sehingga menyebabkan kenderaannya tergelincir dan terbabas,” katanya.