Pensyarah Kanan Fakulti Vete­rinar UMK, Prof Dr. Wan Zahari Mohamad berkata, usaha tersebut dilakukan menerusi penambahbaikan terhadap produk Nutri blok, Nutri lik dan palet makanan ternakan.

“Penambahbaikan makanan ternakan ini dilakukan setelah kajian kami mendapati di Malaysia ternakan yang dipelihara kekurangan zat terutama kandungan mineral dan vitamin.

“Mahu atau tidak, kita perlu mencipta bahan makanan atau suplemen supaya ternakan ini mendapat zat makanan yang mencukupi bagi meningkatkan tumbesaran serta membantu pembiakan baka yang lebih sihat,” katanya kepada pemberita selepas Syarahan Umum Pelantikan Profesor UMK bilangan 6 di Kampus Kota, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed.

Dalam majlis tersebut, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti dan Akreditasi (Pujaka) Fakulti Veterinar, Datin Prof. Dr. Kalthum Hashim turut menerima pelantikan sebagai profesor.

Dalam pada itu, Wan Zahari berkata, bahan ternakan dan suplemen itu juga perlu dikhaskan kepada anak, ibu, bapa atau yang sedang hamil bagi lembu, kambing serta biri-biri mengikut keperluannya bagi mengelak kematian yang berpunca daripada kekurangan zat makanan.

“Bahan makanan dan suplemen yang berada di pasaran kini adalah dari luar negara, oleh sebab itu kita berusaha untuk memprosesnya sendiri dengan mengunakan bahan-bahan tempatan yang berkhasiat termasuk pelepah kelapa sawit.

“Selain itu, kita juga menggunakan bahan protein yang tinggi termasuk tebu serta tanaman kekacang, garam secukup rasa, ubat cacing dan beberapa bahan lain,” katanya.

Tambahnya, fakulti tersebut juga menanam beberapa jenis herba seperti tapak kuda, pucuk nenas dan kenaf bagi menggantikan bahan kimia yang terdapat dalam ubat cacing untuk ternakan tersebut.