SANI BUSU
SANI BUSU 

Seorang penduduk Kampung Sungai Rual, Said Busu, 55, berkata, sebelum projek tersebut siap tahun lalu, jalan sedia ada tidak dapat dilalui kenderaan menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat Orang Asli terpaksa menempuh perjalanan hingga dua jam untuk ke bandar Jeli.

Malah katanya, ketiadaan jambatan yang menjadi penghubung menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan selain menaiki rakit untuk ke kampung-kampung berhampiran.

"Saya dan seluruh masyarakat Orang Asli yang menetap di Kampung Sungai Rual berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan projek ini. Kami juga bersyukur projek ini telah siap dan sudah boleh dilalui sepenuhnya.

"Harap-harap kerajaan akan terus membela nasib penduduk di sini termasuk meningkatkan liputan internet dan talian telefon yang masih teruk di kampung kami," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Jalan Kampung Berdang ke Kampung Sungai Rual Melayu dan Kampung Sungai Rual.

Menurut beliau, projek tersebut yang melibatkan laluan kos sebanyak RM85 juta siap sepenuhnya tahun lalu bukan sahaja memendekkan perjalanan penduduk ke bandar dan sekolah berhampiran, malah mampu meningkatkan sosioekonomi mereka.

"Apabila jalan ini siap, pelbagai impak positif diterima termasuk memudahkan penduduk membawa hasil pertanian mereka ke bandar Jeli, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Sazmi Miah dan Ahli Parlimen Jeli, Datul Seri Mustapa Mohamed di sini.

Projek melibatkan jarak sejauh 5.6 kilometer tersebut merangkumi pembinaan jalan raya, tiga jambatan merentasi Sungai Rual, Sungai Manok dan Sungai Salak serta pembinaan sistem perparitan, saliran dan pembentungan.

Selain memendekkan perjalanan penduduk sekitar ke bandar Jeli, jalan tersebut juga kini menjadi laluan alternatif orang ramai untuk ke jalan utama menghubungkan Lebuh Raya Timur Barat. - UTUSAN ONLINE