Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Rohayu Ahmad berkata, peringkat awal mencuba, air ketum hanya dicampur dengan minuman berkarbonat untuk menghilangkan rasa pahit dan kelatnya.

Beliau berkata, kemudian keadaan berubah, apabila mereka mencuba pendekatan baharu mencampurkan ketum dengan ubat batuk.

“Apabila semakin seronok, mereka semakin ‘maju’ dengan mencuba perkara baharu iaitu menyedut asap pil kuda pula.

“Pada awal Mac lepas seramai 250 pelajar sekolah menengah seluruh negeri ini termasuk yang berusia 14 tahun dikesan positif dadah. Kita menjalankan ujian air kencing di kawasan yang berisiko melibat pelajar tingkatan satu hingga lima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Walkaton Bersama Komuniti sempena Hari Kebangsaan di sini hari ini.

Program yang dianjurkan Jawantankuasa Pemulihan Dadah Daerah itu dirasmikan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kamarudin Md. Nor.

Rohayu berkata, pelajar dikenal pasti mampu membeli pil kuda dengan harga RM8 hingga RM10 sama ada menggunakan wang sendiri atau berkongsi sesama rakan semata-mata untuk mencuba dan berhibur tanpa memikirkan akibatnya.

“Bagi pelajar dan mereka yang dibawah usia 21 tahun ke bawah AADK tidak mengenakan tindakan undang-undang tetapi kes mereka dirujuk ke Pusat Khidmat AADK yang menjalankan kaunseling dan pemantauan lanjut,” katanya.

Katanya, pelajar yang mendapat kebebasan keluarga untuk berfoya-foya lazimnya menjadi mangsa, apa lagi ada rakan sebaya yang 'liar' dan mempunyai rangkaian dengan pengedar dadah mendekati kumpulan mereka.

Sementara itu, katanya, setakat ini keseluruhan Orang Kena Pengawasan (OKP) di Kelantan ialah seramai 7,950 orang berusia seawal 14 hingga 56 tahun.

“Sepanjang tempoh 2017 seramai 300 OKP ditangkap semula dan dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar syarat dengan menerima hukuman penjara dan sebatan,” katanya.