Pengarah SSM negeri, Ab. Razak Isa berkata, hanya 70 peratus syarikat di negeri ini yang mematuhi pelaksanaan Akta Syarikat 2016 itu berdasarkan statistik yang dikeluarkan SSM sehingga Ogos lalu.

Menurutnya, jumlah itu agak tercorot berbanding dengan negeri lain yang secara 100 peratus mematuhi penyata kewangan syarikat masing-masing.

“Ada sebahagian syarikat di negeri ini tidak mengemaskini dokumen syarikat dalam masa lima hingga 10 tahun, sehingga ada yang telah bertukar pengarah tetapi maklumat syarikat masih tidak dikemaskini.

“Kita mengenal pasti sudah berlaku tiga kes di mana ada syarikat yang menyerahkan tender kepada syarikat yang sudah ditamatkan. Jadi sebelum kes ini meningkat, Akta Syarikat 2016 diwujudkan yang mula berkuatkuasa pada 31 Januari 2017 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Kempen Patuh Serah Simpan Penyata Tahunan Dan Penyata Kewangan Akta Syarikat 2016 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab. Razak berkata, terdapat 15,000 syarikat yang berada di bawah Akta Syarikat 2016 namun hanya 5,151 syarikat yang aktif serta patuh dengan akta tersebut di negeri ini.

“Bagi 2017, sebanyak 1,474 syarikat di negeri ini dikenakan kompaun akibat kegagalan menyediakan penyata tahunan syarikat dibawah Seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016 iaitu kompaun lima penalti tidak melebihi RM50,000.

Kita harap dengan kempen ini dapat meningkatkan kesedaran kepada semua agensi di negeri ini agar dapat mematuhi akta itu dan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kepentingan data syarikat masing-masing,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE