Suriana Zakaria, 42, berkata, ada orang tergamak menyuarakan hasrat mengambil cahaya matanya sebagai anak angkat setelah suaminya, Ahmad Badarudin Sulaiman, 46, meninggal dunia secara mengejut ketika mengambil upah menebang pokok pada 8 Mac lalu.

Suriana yang tidak bekerja berkata, meskipun kehilangan tempat bergantung namun dia akan memastikan anak-anaknya berusia 2 tahun hingga 18 tahun kekal bersamanya dan mendapat kasih sayang secukupnya.

“Selepas suami tiada, sudah ada beberapa orang yang datang memberitahu mahu mengambil anak saya sebagai anak angkat.

“Saya buat diam sahaja dan tidak menjawab permintaan mereka, walaupun hidup susah saya sesekali tidak akan serahkan anak-anak kepada sesiapa, saya akan berusaha dan percaya Allah sudah tetapkan rezeki kami,”

“Anak-anak saya sedih kerana abah mereka tiada lagi untuk puasa bersama, mereka teringatkan arwah yang sentiasa mengejutkan mereka bangun sahur, tetapi saya beritahu ini sudah takdir Allah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Suriana berkata, arwah suaminya adalah seorang tukang rumah dan membuat pelbagai kerja kampung seperti menebang pokok dan memasang paip untuk menampung kehidupan keluarga.

Hasil perkongsian hidup pasangan ini mempunyai lapan orang anak iaitu Abdul Fatah,18; Mohd Fauzi, 14; Mohd Fairuz, 13; Nurul Farhana, 10; Nurul Farahin, 10; Nurul Fasihah, 6; Nurul Farisa, 4, dan Nurul Fadilah, 2.

“Enam anak saya masih bersekolah iaitu Abdul Fatah di Maahad Amir Indera Petra; Mohd Fauzi dan Mohd Fairuz di Sekolah Menengah Agama (Arab) Al Yunusiah manakala Nurul Farhana, Nurul Farahin dan Nurul Fasihah pula di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan.

“Perbelanjaan sekolah anak meningkat setiap tahun, ketika arwah masih ada kami sentiasa berjimat berbelanja dan anak-anak saya membawa bekal makanan ke sekolah,” katanya.

Dia dan anak-anak kini bergantung kepada bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sejak dua bulan lalu selain sumbangan sanak saudara, jiran dan orang ramai yang menyumbang barang keperluan harian serta wang ringgit.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wa­nita negeri, Mumtaz Md Nawi juga telah memberi sumbangan yang akan digunakannya bagi membeli pakaian raya anak-anak.

“Ada orang-orang yang saya tidak kenal pun datang ke rumah memberi bantuan, malah untuk berbuka puasa tahun ini hanya sekali kami perlu membeli lauk.

“Selepas hari raya saya merancang untuk membuat dan menjual kuih bagi menyara anak-anak,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban ibu tunggal ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Suriana Zakaria 0300241100008563. - UTUSAN ONLINE