Kualiti air sungai tersebut terjejas dipercayai berpunca daripada aktiviti perladangan, pembalakan dan perlombongan di kawasan berhampiran perkampungan itu sejak lima tahun kebelakangan ini.

Raina Anjang, 47, berkata, sejak tiga bulan lalu, masalah kekurangan bekalan air bersih semakin meruncing di kampung berkenaan.

Katanya, akibat aktiviti pe­nerokaan tanah, sungai yang menjadi nadi utama penduduk suku kaum Batek terus tercemar tanpa sebarang kawalan.

“Air sungai yang menjadi keperluan penduduk semakin ditimbus tanah dan sisa kayu akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan berhampiran kawasan kampung.

“Kini kami terpaksa menggunakan air dari anak Sungai Lebir yang terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit. Bagaimana­pun, sekarang ramai yang mengadu sakit perut dan gatal di badan selepas menggunakan air sungai itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Pokok, 42, berkata, berharap pihak kerajaan menyiasat punca sungai itu dicemari bahan kimia kerana semakin ramai penduduk mengadu sakit perut.

Sementara itu, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang mengadakan lawatan kerja ke Kampung Orang Asli Kuala Koh bersama rombongannya memberitahu, pihaknya mengambil sampel air sungai di kawasan itu untuk dianalisis.

Katanya, keputusan ujian untuk mengesan air sungai tercemar itu akan diketahui dalam masa terdekat.