Mereka begitu kecewa apabila tiada usaha pihak berwajib untuk memulihkan kualiti air sungai yang dijadikan sumber utama untuk kehidupan harian sejak berpuluh tahun lalu.

Seorang penduduk, Henry Angah, 40, berkata, kesan daripada pembukaan tanah pertanian tidak terkawal menyebabkan air semakin kotor dan hampir kering ditimbus pasir.

Malah, katanya, air sungai terbabit juga dikhuatiri tercemar dengan baja dan racun pertanian.

“Masalah air sungai itu kotor dan berselut bukanlah perkara baharu kerana telah berlaku sejak 20 tahun lalu lagi ketika kawasan itu mula menjadi tum­puan pengusaha kebun sayur.

“Keadaan itu berlarutan sampai sekarang hingga mengancam nyawa penduduk jika menggunakan air sungai itu sebagai sumber harian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Henry berkata, dahulu penduduk di kawasan itu mengharapkan kepada air Sungai Belatop bagi keperluan harian termasuklah mandi, membasuh pakaian dan memasak.

Bagaimanapun, selepas mendapati keadaan air sungai itu semakin kotor mereka berhenti menggunakan air sungai itu.

“Kami penduduk Orang Asli le­bih rela minum air hujan daripada minum air sungai,” katanya.

Along Ahmad, 34, pula berkata, mereka kini terhimpit de­ngan masalah keperluan air bersih selepas air Sungai Belatop itu tercemar dan berselut.

Katanya, sebelum ini penduduk telah mengusahakan keperluan tadahan air bukit, tetapi kerap rosak kerana akti­viti kebun sayur.

“Terdapat Orang Asli yang terpaksa membeli stok air mineral di kedai untuk minuman mereka.

“Kita benar-benar berharap pihak kerajaan memberi perhatian terhadap masalah pencemaran air Sungai Belatop yang sebelum ini jernih,” katanya.