Bagaimanapun, hasil berjimat cermat, Wan Ab. Aziz berjaya menabung dan wang tersebut kemudiannya dijadikan modal untuk mengusahakan perniagaan membekal bahan binaan (hardware) termasuk batu bata kepada penduduk di kawasan pedalaman sejak lima tahun lalu.

Wan Ab. Aziz, 49, berkata, sebelum ini dia hanya menghasilkan 300 kepingan batu bata untuk dijual setiap hari.

Bagaimanapun katanya, setelah berjaya membeli mesin memproses batu, dia dapat menghasilkan lebih 3,000 batu-bata sehari menerusi perusahaan yang dijalankan bersama isteri, Rosan Ab. Aziz, 44, dan anak-anak.

“Jika dahulu, kami pernah berdepan kesusahan hidup, namun lama-kelamaan perniagaan kami semakin berkembang termasuk mula menjual pelbagai bahan binaan lain di kedai,” kata bapa kepada enam orang anak ini.

Tambah Wan Ab. Aziz, dia bersyukur walaupun tidak mendapat sebarang bantuan daripada agensi kerajaan untuk membuka perniagaan, namun kini kedainya semakin berkembang pesat.

Katanya, dia tidak mahu terlalu bergantung dengan orang dan sentiasa menabung sejak usia muda bagi membuka perniagaan.

“Sebenarnya setiap kejayaan bergantung kepada diri kita sendiri dan terus berusaha. Kalau kita ya­kin kita akan berjaya. Kita juga harus berjimat cermat dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain,” katanya di sini hari ini.

Wan ab. Aziz juga berbangga apabila keluarga mereka terpilih mendapat Anugerah Johan Penduduk Jaya ketika Majlis Sam­butan Hari Penduduk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Ke­sedar) tiga tahun lalu.