Muhammad Syafiq Shazwan Mohd. Saupi berkata, dia kini sering masuk ke sekolah rendah seawal pagi untuk beraksi di pintu pagar semata-mata menarik minat kanak-kanak supaya seronok untuk datang ke sekolah.

Menurutnya, paling awal adalah selepas Subuh bertolak dari rumah ke sekolah yang menjemputnya dengan pakaian lengkap spiderman.

“Sebenarnya saya adalah pelajar yang culas ke sekolah dan berhenti belajar di Tingkatan Empat. Sepatutnya, pada tahun ini saya berada di Tingkatan Lima di salah sebuah sekolah di pusat bandar ini.

“Saya mengambil keputusan berhenti sekolah kerana gagal mengikuti pelajaran dan mula mencari pekerjaan termasuk menjadi Spiderman untuk sumber rezeki yang halal,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kisah Spiderman yang menjual teh ais atau teh beng di Jalan Kelubi, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, dekat sini tular di media sosial sehingga gerainya mendapat sambutan ramai.

Muhammad Syafiq berkata, kehadirannya ke sekolah sekali gus menebus kegagalannya untuk terus berada di bangku persekolahan dan tidak mahu langkah yang diambilnya menjadi ikutan murid.

“Kostum Spiderman berwarna merah dan hitam atau Spiderman Venom adalah aset yang memberi rezeki kepada saya ketika menjual teh ‘beng’ (ais) di tepi jalan selain beraksi di sekolah dan memenuhi permintaan majlis hari jadi.

“Saya terpaksa menyusun jadual tugasan untuk tidak menghampakan permintaan guru selain tugasan tetap di warung. Saya juga belajar untuk memberi semangat dan motivasi kepada murid,” katanya. - UTUSAN ONLINE