Pengetua SMSTMFP, Mohd. Razuki Sulaiman berkata, program sejak 2015 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu (JAKOA), Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan pelbagai pihak itu bertujuan meningkatkan pencapaian pelajar tiga buah sekolah dari Gua Musang.

Menurutnya, sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, SK Kuala Betis dan SK Lepan Jaya terutamanya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Beliau berkata, pada tahun ini seramai 33 pelajar dari tiga sekolah berkenaan terdiri murid tahun 4 hingga 6 dibimbing mengikuti program secara berkala yang berpusat di SMSTMFP sejak bulan Februari lagi termasuk Bengkel Skor A dari 17 Ogos hinggga 21 Ogos lalu.

“Istimewa tahun ini kita adakan kerjasama dengan SK Pengkalan Chepa yang turut menghantar kira-kira 30 murid mengikuti program kecemerla­ngan bersama rakan mereka dari pedalaman.

“Kita sediakan pelbagai sesi ceramah, bimbingan dan bengkel subjek peperiksaan UPSR terma­suk bersama guru pakar semasa cuti hujung minggu malah murid Orang Asli diberi peluang selama beberapa hari mengikuti sesi persekolahan biasa di SK Pengkalan Chepa,’’ ujarnya.