Pengetuanya, Ummi Ma­riza Che Ya berkata, pihak sekolah berbangga apabila tiga pemain lelaki bakal menyertai Kejohanan sukan tersebut di India manakala seorang lagi pemain perempuan di Thailand.

Katanya, tiga pemain yang terpilih masing-masing berusia 17 tahun iaitu Mohamad Irfaq Wan Yusoff, Mohammad Hakim Harisan dan Muhammad Aiman Afiq dan pemain perempuan, Wan Nor Zulaika Sofea Wan Mohd. Zulkifli, 16.

“Kita berbangga dengan prestasi cemerlang pemain dan berharap mereka yang terpilih dapat menonjolkan prestasi terbaik di pentas antarabangsa bagi mengharumkan nama negara.

“Saya berharap mereka yang sedang menyertai latihan sebelum berangkat ke India dan Thailand dapat memperbaiki stamina, fokus dan meningkatkan disiplin,” katanya selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Kecemerlangan Kriket antara Persatuan Kriket Malaysia (PKM) dengan SMK Tengku Indra Petra di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Presiden PKM, V. Mahinda; Ketua Pegawai Operasi PKM, M. Dinesh dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Muhamad Sauki Hussin.

Ummi Mariza berkata, MoU yang dimeterai itu adalah untuk mengenai pelantikan SMK Tengku Indra Petra sebagai Pusat Kecemerlangan Kriket PKM.

“Selain itu, program ini adalah salah satu usaha persatuan tersebut dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi meneruskan pembangunan kriket peringkat sekolah di Malaysia.

“Program ini juga adalah usaha untuk membangunkan SMK Tengku Indra Petra sebagai pusat keunggulan sukan kriket,” katanya.