Pengurusnya, Mohd. Afandi Mahamad berkata, pihaknya amat komited untuk melahirkan usahawan akuakultur muda berdaya maju apatah lagi permintaan terhadap makanan laut itu semakin meningkat.

Beliau berkata, udang karang air tawar atau redclaw crayfish adalah baka dari Australia dan Papua New Guinea yang diluluskan Jabatan Perikanan untuk penternakan hiasan serta komersial.

“Hidupan ini mendapat permintaan tinggi untuk hidangan eksotik dan mewah. Harganya mencecah RM120 sekilogram untuk udang karang hidup dan RM60 untuk yang dibekukan.

“Dalam setiap tangki penternakan, biasanya 100 ekor udang karang boleh diternak, membesar sehingga lapan sentimeter dalam tempoh empat bulan dan setiap seekor udang karang bersaiz 7.5 sentimeter (sm) mula menghasilkan antara 200 hingga 250 telur.

“Induknya boleh membesar sehingga 35.5 sm yang mampu menghasilkan sehingga 1,000 te­lur dengan tempoh tuaian adalah dua kali sebulan dan dari warna telur, dapat diketahui tempoh ia menetas,” katanya ketika ditemui di Pusat Penternakan Lobster Air Tawar Cherang Ruku, dekat sini, hari ini.