Sindiket itu dikatakan mengu­bah taktiknya tidak lagi meminta orang ramai menggores untuk menang tetapi menawarkan janji-janji manis dengan pelbagai ha­diah percuma untuk mengaburi pelanggan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Firdaus Zakaria berkata, kos transaksi bayaran yang direkodkan dalam tempoh terbabit mencecah RM100,000.

“Daripada jumlah tersebut, aduan tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak RM17,000 bagi satu transaksi.

“Golongan yang menjadi warga emas dan penduduk di luar bandar sebagai sasaran namun, ada juga kes yang dilaporkan me­libatkan golongan profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Sam­butan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Negeri Kelantan 2018 di sini, semalam.

Firdaus berkata, selepas berjaya menarik minat pelanggan dengan hadiah percuma, sindiket itu kemudiannya meminta pe­langgan memberikan kad debit untuk pengesahan.

“Akhirnya transaksi pemindahan wang telah berpindah kepada akaun syarikat tanpa persetujuan.

“Saya nasihatkan pengguna agar tidak mudah terpedaya de­ngan janji manis dan hadiah yang ditawarkan serta tidak mudah memberikan kad debit mahupun kad kredit kepada orang lain walaupun untuk tujuan pengesahan,” ujarnya.