Sifu Cempaka kembali aktif 'live' di Facebook

MOHD. IRFAN sedang berinteraksi dengan orang ramai ketika membuat live di Facebooknya hari ini. - UTUSAN ONLINE/Media sosial

Terbaharu, Mohd. Irfan, 26, yang menggelarkan dirinya Sifu Cempaka muncul secara langsung selama kira-kira setengah jam hari ini untuk berinteraksi bersama pengguna Facebook serta menawarkan hadiah percuma kepada pelanggan setianya.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di dinding Facebook milik Mohd. Irfan, dia didapati aktif membuat live sejak Jumaat lalu.

Mohd. Irfan yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, kejadian kira-kira dua minggu lalu sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk mencari rezeki berniaga di laman sosial.

Malah dia telah melantik pengawal peribadi untuk menjaga keselamatannya dan merahsiakan lokasinya atas nasihat polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam, 26 Januari lalu, Mohd. Irfan cedera di betis kanan selepas ditembak sekumpulan perompak di pejabatnya di Banggol Kulim, Rantau Panjang selain kerugian barangan kemas bernilai RM150,000 akibat dilarikan perompak. - UTUSAN ONLINE