Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, beliau akan menyiasat dakwaan yang mengatakan masih ada keluarga mangsa banjir bah kuning 2014 yang tercicir daripada menerima bantuan rumah kekal.

Katanya, beliau sendiri terkejut apabila mendapat tahu terdapat enam beranak tersebut terpaksa menumpang di rumah rehat masjid sejak hampir tiga tahun lalu kerana tidak menerima bantuan rumah daripada kerajaan negeri atau kerajaan Pusat.

“Kita bersimpati dengan kea­daan enam beranak yang terpaksa tinggal di sebahagian ruangan masjid terbabit.

“Saya juga akan menyemak kembali senarai nama mangsa banjir berkenaan dan membawa perkara ini kepada pejabat tanah dan pihak kerajaan negeri bagi mengetahui punca perkara ini boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sepasang suami isteri bersama empat anak mereka terpaksa tinggal di sebuah rumah rehat Masjid Ar Rahman sejak hampir tiga tahun lalu.

Keluarga tersebut merupakan mangsa banjir yang kehilangan tempat berteduh apabila kediaman mereka musnah sepenuh­nya dihanyutkan arus bah kuning penghujung Disember 2014.