Makanan yang sedap dimakan semasa berbuka dan bersahur itu juga menjadi pilihan sebagai buah tangan semasa berkunjung ke rumah rakan serta kenalan.

Berikutan makanan yang mula popular pada awal tahun 1990-an itu, kini generasi keempat yang mewarisi perusahaan itu perlu menyediakan sekurang-kurang antara 100 hingga 200 kilogram serunding pada setiap minggu.

Rahinah Yunus, 64, dari jalan Kubor Maras, Langgar di sini merupakan antara perintis perusahaan terbesar serun­ding memberitahu, beliau sekeluar­ga menyediakan serunding me­ngikut tempahan.

Katanya, serunding dengan jenama ‘Salma’ dijual dengan harga RM60 sekilogram bagi daging dan RM56 untuk ikan dan ayam.

“Untuk menyiapkan 15 kilogram serunding, saya mengambil masa antara enam hingga tujuh jam sehingga ia benar-benar masak bagi memastikannya tahan dismpan lebih dua bulan.

“Pegangan utama saya ketika menghasilkan makanan ini ialah patuh pada petua yang ditinggalkan oleh ayah yang mewarisi perusahaan ini daripada datuk saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rahinah berkata, allahyarham datuknya memulakan perniagaan serunding selepas daging yang dijualnya tidak habis.

“Datuk saya merupakan penjual daging dan penyembelih lembu, pada ketika itu tidak ada peti ais, jadi daging yang tidak habis dijual direbus supaya tidak rosak.

“Daripada situ, masakan ini direka dan dijual kepada dengan harga yang lebih baik dan mula digemari rarnai,” katanya.

Sesiapa yang beminat membeli serunding ‘Salma’ secara borong boleh menghubungi talian telefon 09-744 6530 atau 09-744 6509