Malah, peserta juga bakal menikmati pendapatan bulanan sebanyak RM5,000 serta rumah pejabat dan banglo dua tingkat.

Pengerusi Eksekutif, Ladang Sawitria (Kel) Sdn. Bhd., Tan Sri Musa Hassan berkata, program yang sudah dilaksanakan selama setahun itu bertujuan membantu golongan muda memiliki pendapatan mampan.

“Program ini dirancang untuk golongan muda di seluruh negara dan khususnya rakyat di negeri ini. Peserta akan diberikan latihan percuma selama tiga bulan dan elaun sebanyak RM300 setiap bulan.

“Tapak projek yang sedang diusahakan sekarang ini terletak di Mukim Mambong, Batu Mengkebang, Kuala Krai. Tanah pajakan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) yang berkeluasan 2,286 ekar itu sesuai untuk tanaman cili, pokok pisang, pokok durian serta produk pertanian lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Hotel Perdana, di sini semalam.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli ke majlis perasmian program berkenaan yang turut dihadiri Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut mengenai hal itu, Musa berkata, program tersebut turut mengadaptasikan penggunaan teknologi daripada Taiwan.

“Kita akan membuat pertanian moden secara besar-besaran dan walaupun setiap peserta mendapat tanah setiap seorang, namun, hasilnya akan dapat diraih secara berkelompok.

“Buat masa ini kita sudah menerima permohonan sebanyak 1,212 orang dan kita ambil 67 orang dahulu bagi fasa pertama pelaksa­naan program ini,” jelasnya.