Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, kejadian terbaharu berlaku pada pukul 11 pagi semalam apabila pihak berkuasa meruntuhkan penghadang yang dibina pihaknya dengan menggunakan jentolak.

Katanya, operasi itu diketuai Jabatan Perhutanan yang datang dan memusnahkan sekatan sebanyak tiga kali dalam tempoh empat hari.

“Semangat serta kesabaran kami diuji lagi apabila pihak berkuasa merobohkan lagi sekatan yang dibina.

“Perkara itu dilakukan kerana mereka ingin memberi pe­luang kepada pihak peladang dan pembalak mengeluarkan sumber hasil mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang penduduk dari Kampung Kuala Wook, Jimi Angah, 43, berkata, dua kejadian serupa itu terjadi pada hari Ahad dan Isnin lalu.

Katanya, tindakan pihak berkuasa itu menyebabkan dia dan masyarakat Orang Asli yang lain hanya mampu melihat sekatan dirobohkan.

“Kami membina sekatan untuk mempertahankan tanah adat daripada terus diceroboh pihak luar.

“Kami akan berbincang langkah seterusnya bersama komuniti kerana pihak berkuasa kerap membuat operasi sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sejak dua tahun lalu, Orang Asli di Gua Musang kembali aktif menghalang pembalak, peladang dan pelombong daripada memasuki kawasan tanah hutan mereka.

Pada tahun ini, mereka membina tiga sekatan sejak bulan Februari lalu di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik.

Baru-baru ini, sebuah syarikat ladang durian jenis musang king memfailkan saman ke atas Mustafa Along berhubung sekatan yang dibina di kawasan itu.