Pengarah Pendidikan Negeri, Muhammad Zahari Othman berkata, pelajar yang aktif dalam sukan pastinya cerdas pemikiran dan mampu menerima ilmu yang disampaikan oleh guru di bilik darjah.

Menurutnya, ibu bapa perlu memahami keperluan semasa yang menuntut anak-anak mereka aktif dalam semua bidang iaitu kurikulum dan kokurikulum dengan capaian yang cemerlang.

"Kebenaran kepada pelajar untuk aktif dalam sukan tidak boleh disekat oleh ibu bapa kerana pelbagai aspek kemenjadian pelajar diberi penilaian yang khusus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan acara penutup Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, dekat sini hari ini.

KOT yang dilangsungkan itu menyaksikan sekolah-sekolah Zon 2 tampil juara keseluruhan dengan mendapat enam emas, lapan perak dan lima gangsa.

Manakala juara keseluruhan sekolah menengah disandang oleh SMK Jelawat dengan 15 emas, 10 perak dan enam gangsa. - UTUSAN ONLINE