Murid tersebut, Nur Ainul Safia Safinei, 11, berkata, selama tempoh sebulan sebelum kejohanan di Osaka, Jepun itu, dia terpaksa berkorban dan menghadkan jumlah pengambilan nasi sepertimana arahan jurulatih bagi memastikan stamina kekal tinggi.

Hasilnya, Nur Ainul Safia yang berketinggian 145 sentimeter (sm) dan mempunyai berat badan 44 kilogram (kg) berjaya menumbangkan lawan dari Brazil yang lebih tinggi dan besar daripadanya dalam perlawanan akhir kategori 51 kg ke bawah bagi usia 9 hingga 11 tahun.

“Master (jurulatih) beritahu saya perlu kawal makan nasi supaya tidak letih semasa bertarung, saya tidak suka makan sayur jadi saya lebihkan makan buah-buahan.

“Masa perlawanan akhir saya terkejut melihat lawan saya yang setinggi ibu saya (155 sm) dan badannya yang besar, saya bimbang tidak dapat bawa pulang pingat tetapi saya mencuba juga dan syukurlah saya berjaya,” katanya ketika ditemui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Nur Ainul Safia adalah salah seorang daripada sembilan peserta yang mewakili Kelab Sara Taekwondo Martial Art negeri ini di kejohanan itu

Ketibaan mereka di LTSIP telah disambut lebih 30 ahli keluarga dan sahabat handai termasuk para guru dan ibu bapa dari SK Datu Hashim.

Yang turut hadir, guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Ismail Yusuf.

Selain Nurul Ainul Safia, dua lagi murid SK Datu Hashim yang turut menyertai kejohanan itu membawa pulang kejayaan iaitu Putri Raisya Aleesya Ahmad ilham, 9, dan Nik Ahmad Mukhlis Kasyfullah Nik Mohd Kifayatullah,10, apabila kedua-duanya menang pingat gangsa.

Sementara itu, Nurul Ainul Safia berkata, dia menyertai Kelab Sara Taekwondo Martial Art negeri sejak berumur 7 tahun dan mula bertanding mewakili kelab itu di usia 8 tahun dalam pertandingan dalam negeri.

“Saya pertama kali menyertai kejohanan antarabangsa di Jogjakarta, Indonesia pada usia 9 tahun dan menang pingat gangsa ketika itu,” katanya.

Anak tunggal dalam keluarga ini berkata, dia menghadiahkan kejayaan di Osaka yang merupakan pencapaian terbesarnya setakat ini kepada kedua ibu bapanya, Anis Emysha Rida Othman, 35 dan Safinei Ismail, 59.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Jurulatih Kelab Sara Taekwondo Martial Art negeri Kelantan, S.Manimaran berkata, kejohanan di Jepun itu disertai 25 buah negara dan kelab itu merupakan satu-satunya kelab taekwondo dari Kelantan yang menghantar peserta.

“Kita membawa sembilan peserta berumur lapan hingga 17 tahun dan berjaya membawa pulang tiga emas, dua perak dan empat gangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE