Pengurus Besarnya, Datuk Ir. Md. Yuslan Md. Yusof berkata, sepanjang musim tengkujuh ini, pasukan tersebut yang terdiri daripada 200 kakitangan akan bersiap sedia 24 jam dan bertugas setiap hari.

“Tumpuan kita ialah stesen TNB di beberapa daerah yang pernah ditenggelami banjir besar pada tahun 2014 lalu iaitu Jeli, Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Selain itu, kita juga turut membekukan cuti kesemua kakitangan bagi bersiap sedia dengan kemungkinan banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Rekreasi Boling TNB Bersama Media Kelantan 2016, di sini semalam.

Program tersebut merupakan inisiatif TNB bagi mengeratkan silaturahim antara pihaknya de­ngan petugas media Kelantan.

Mengulas lanjut, Md. Yuslan berkata, jika banjir besar berlaku, bencana itu bakal menjejaskan kira-kira 150,000 pengguna di seluruh negeri kerana pihaknya perlu memutuskan bekalan elek­trik di pencawang utama di Ta­nah Merah.

“Sebagai langkah pencegahan, kita juga telah me­nyiapkan pintu penghadang banjir bagi menghalang air banjir melim­pah serta meninggikan tapak menara penghantaran bekalan elektrik. Projek ini disiapkan sepenuhnya pada November lalu,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap persiapan yang dilakukan itu dapat menghalang sebarang kejadian tidak diingini seperti terputus perhubungan dan bekalan seperti yang berlaku ketika bah kuning dua tahun lalu.