Muhammad Aimin Hakim yang merupakan anak kedua daripada lima beradik berkata, ayahnya Arisham Musa meninggal dunia tiga tahun lalu akibat penyakit jantung.

“Saya sangat rindu dan teringat kenangan dapat bermaafan dengan arwah ayah yang selalu memberi nasihat kepada kami.

“Sebelum meninggal dunia ayah sudah lama tidak dapat bekerja kerana sakit dan ibu saya, Zurina Mat Nor, 45, yang berusaha keras menyara kami sekeluarga dengan menjual nasi.

“Kini abang saya, Muhammad Amirul Hakim, 17, juga turut bekerja di kilang papan untuk membantu meringankan beban ibu,” katanya ketika ditemui selepas program Projek Baju Raya Anak Yatim 2018 anjuran Info Semasa Kubang Kerian (ISKK) dan Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Anak Kelantan (PAKKAK) di Bazar Tok Guru di sini hari ini.

Pada program itu, seramai 30 orang anak yatim dari Kubang Kerian diberi peluang untuk memilih baju raya sendiri.

Sementara itu, Presiden ISKK, Mohd Affandi Mohamad berkata, pihaknya menerima sumbangan daripada Kelab Farmasi Prihatin, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan PAKKAK yang telah menaja pembelian pakaian raya selain tajaan pengangkutan bas daripada syarikat Aqilah Trading.

Dalam pada itu, Presiden PAKK, Mohammad Aswady Adenan pula berkata, program kebajikan bukan suatu aktiviti bermusim kerana kerja-kerja kebajikan adalah tanggungjawab yang perlu dipikul semua pihak sepanjang masa.

Mana-mana pihak yang ingin turut bekerjasama di masa hadapan boleh menghubungi talian 0142994977 (Mohd Affandi) atau 0199564649 (Mohammad Aswady). - UTUSAN ONLINE