Sekolah tahfiz yang diuruskan secara persendirian itu diumpamakan seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ apabila terus bergantung dengan sumbangan derma daripada orang ramai untuk terus beroperasi.

Pengerusi Satyatim, Abd. Rah­man Musa, berkata, sekolah itu telah beroperasi sejak tahun 2009 di tapak bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerek dan kini mempunyai 25 pelajar serta tiga orang guru.

Katanya, akibat kekurangan dana, pihaknya tidak dapat menyediakan kemudahan yang selesa untuk membaiki bumbung asrama dan tingkap yang rosak serta padang permainan untuk pelajar.

“Sepanjang beroperasi sekolah tahfiz ini banyak kekura­ngan dan kita hanya bergantung kepada yuran dan bantuan orang ramai.

“Cabaran utama untuk me­nguruskan keperluan Satyatim ini adalah masalah kewangan yang tidak mencukupi,” kata­nya di sini hari ini.

Jelas Abd. Rahman lagi, operasi sekolah itu bermula apabila pihaknya mendapat kelulusan tapak daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kese­dar); Kementerian Pelajaran serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Katanya, bangunan sekolah lama itu mempunyai bilik asrama, kelas, dewan makan dan juga surau yang agak uzur.

“Bangunan itu terbiar le­bih lima tahun sebelum saya mengambil keputusan untuk membuka sekolah agama bagi mengajar pelajar tahfiz di sini.

“Sejak tahun 2009 sehingga kini, kami telah berjaya mendidik lebih 100 pelajar tahfiz untuk mempelajari ilmu al-Quran dan fardu ain.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini me­ng­umumkan kelulusan bantuan berjumlah RM30 juta untuk menaik taraf semua sekolah tahfiz di negara ini dan kami berharap bantuan itu akan disalurkan ke sekolah ini juga,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan kewangan bo­leh berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat Satyatim 111081000878.