Ketua Kumpulan, Faris Firdaus Mohd. Ashua, 12, berkata, kumpulan yang ditubuhkan pada Mac lalu itu terdiri daripada 20 murid tahun empat, lima dan enam yang dipilih berdasarkan bakat serta minat tinggi kepada dikir barat.

Faris Firdaus yang turut bertindak sebagai tukang karut berkata, kumpulan itu dibim­bing oleh tiga guru iaitu Azman Ibrahim, Mohd. Rashidi Abd. Rahim dan Siti Hajar Zainordin.

“Kami sangat teruja bila mengetahui sekolah mahu menubuhkan sebuah kumpulan dikir barat sendiri kerana sebelum ini jika pihak sekolah memerlukan kepada persembahan dikir barat maka pelajar terpaksa dilatih secara tergesa-gesa untuk satu-satu program.

“Ramai yang menghadiri sesi pemilihan tetapi cikgu hanya pilih 20 orang sahaja, kami menjalani latihan pada waktu petang sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

“Saya sukakan muzik dikir barat yang rancak dan persahabatan antara ahli kumpulan pula sangat akrab,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah itu di sini baru-baru ini.

Faris Firdaus memberitahu, setakat ini khidmat kumpulan mereka sering digunakan untuk membuat persembahan pada pelbagai acara dalaman di sekolah termasuk ketika menyambut orang-orang kenamaan.

“Antara lagu yang sering kami persembahkan adalah Assalamualaikum, Adik-adik dan lagu-lagu daripada pendikir yag menjadi idola kami, Halim Yazid seperti Bangkit Asal,” katanya.

Sementara itu, tukang juara atau ‘tok jogho’ kumpulan itu, Mohd. Faris Mohd. Zain, 11, adalah bakat muda yang tidak asing lagi dalam kalangan penggiat dikir barat di negeri ini.

Malah dia yang juga anak kepada pendikir tersohor, Mohd. Zain Ismail atau ‘Jen Endoro’ pernah terlibat dalam pembikinan album kompilasi dikir barat iaitu Treble Tok Guru.

“Saya amat meminati dikir barat tetapi saya juga tidak lupakan pelajaran adalah pen­ting dan itulah yang cikgu se­ring ingat­kan kepada kumpulan kami,” katanya.