ROSLAN HUSAIN membuka gerai satar di Pasar Tani berhampiran Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

Menurutnya, sata yang dihasilkan da­ripada adunan isi ikan, kelapa parut dan herba itu dihasilkan mengikut resipi turun temurun bagi memastikan kualiti serta keenakannya sentiasa terjaga.

“Tiga bungkusan sata dijual dengan harga harga RM1. Saya memproses sendiri di rumah sebelum di­ba­wa ke pasar ming­gu, pasar tani atau pasar malam di sekitar Kelantan dan Kuala Besut, Terengganu.

“Lokasi tumpuan ialah kawasan bandar agar mereka lebih mengenali sata,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Pasir Puteh, dekat sini, baru-baru ini.

Roslan berkata, ikan segar yang diperoleh dari Tok Bali atau dari pesisir Pantai Pachakan di sini adalah bahan utama pembikinan sata bagi memastikan ianya tidak gatal apabila dimakan.

Menurutnya, makanan ri­ngan itu seharusnya diwarisi oleh generasi masa kini dengan mempelajari cara menghasilkannya, paling tidak hanya untuk dinikmati keluarga ketika minum petang.

“Semua jenis ikan boleh dijadikan bahan utama sata, namun paling enak ialah ikan tenggiri yang lazimnya dihasilkan untuk juadah keluarga sahaja. Sata yang dijual pula kebanyakannya dihasilkan dari pada ikan Selayang.

“Matlamat saya bukan untuk kaya dengan jualan sata sebegini kerana ianya tidak pernah dijual dengan harga yang tinggi berbanding makanan lain. Ia sekadar mendapatkan peluang dan laluan untuk saya perkenalkan sata kepada generasi baru bandar,” katanya.

Roslan berkata, dahulu sata dibakar menggunakan tempurung kelapa atau arang kayu namun kini kaedah moden digunapakai.

“Saya membakarnya dengan mengguna dapur gas dan kuali khas ketika menjalankan perniagaan di pasar minggu bagi mengelakkan gangguan asap kepada peniaga lain,” katanya.