Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, setakat ini lebih 2,000 rumah mampu milik berharga kurang RM130,000 telah berjaya disiapkan.

Beliau berkata, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah antara pihak yang giat berusaha melaksanakan pembangunan rumah mampu milik di negeri ini.

“Atas kertas, perancangan kita sebenarnya adalah untuk membina 7,300 rumah mampu milik dari 2014 hingga 2018. Pembangunan kita buat berterusan, namun antara masalah yang dihadapi pemaju adalah memperoleh pembeli yang layak.

“Masalah 'pembiayaan akhir' adalah isu yang dihadapi di seluruh negara kerana syarat terlalu ketat bank kepada bakal pembeli, jadi kita berharap kerajaan Persekutuan boleh membuat kaedah baharu agar pembeli dibantu,” katanya.

Beliau ditemui selepas me­nyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Bercampur Kota Jembal di sini baru-baru ini.

Projek kerjasama antara PKINK dengan SPP Development Sdn. Bhd. itu melibatkan pembinaan 242 unit rumah di atas tanah seluas 12 hektar dalam Mukim Tok Ku dan Mesira di sini iaitu sempadan antara Kota Bharu dengan Bachok.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berkata, sehingga Ogos, pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk membaiki kira-kira 500 rumah golongan tidak berkemam­puan di negeri ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 800 rumah telah dibaiki membabitkan peruntukan RM850,000.

“Kita gantikan lantai dan din­ding rosak serta menukar zink bocor kerana tidak boleh biar rakyat terus hidup dalam rumah yang daif,” katanya.