Sarimi Muhammad, 38, dari Kampung Dalam Rhu, Semerak, dekat sini memenuhi masa terluang me­nyarungkan pakaian badut sebagai kerjaya sampingan tanpa memen­tingkan soal bayaran tetapi lebih kepada kepuasan diri apabila kanak-kanak yang diraikannya terhibur.

Menurutnya, peluang untuk menceriakan kanak-kanak dengan pelbagai helah ringan cukup menghiburkan dan dianggap sebagai sebahagian seni dalam kehidupan manusia.

“Bukan upah menjadi taruhan untuk mendapatkan pendapatan sampingan kerana gaji bekerja dengan sebuah syarikat swasta di sini sudah cukup untuk menampung keperluan hidup saya sekeluarga.

“Ia lebih kepada minat dan ke­puasan untuk bersama kelompok kanak-kanak yang ingin bermanja, belaian dan gurauan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Sarimi berkata, lazimnya dia menerima undangan majlis perkahwinan; sambutan ulang tahun kelahiran; program bersama komuniti atau apa sahaja majlis berbentuk keraian pada hari cuti, hujung minggu atau pada waktu yang tidak mengganggu tugas hakikinya.

Menurutnya, dia mempelajari ‘silap mata’ sejak beberapa tahun yang lalu sebagai persediaan utama untuk menjadi badut bagi menarik minat khalayak. khususnya kanak-kanak.

“Saya belajar mencipta objek tertentu menggunakan belon panjang dan menguji minda kanak-kanak dengan set permainan besi sering mendapat tindak balas anak-anak. Mereka dilihat lebih gembira apabila seorang badut mampu menceriakan dua mereka,” katanya.

Menurut Sarimi, dia tidak pernah menetapkan kadar bayaran namun perbincangan dengan pe­nganjur penting supaya kedua-dua pihak berjaya menceriakan majlis atau program yang dianjurkan.

“Apa yang penting kepada saya adalah menjadi penyeri majlis supaya kanak-kanak seronok dan tidak bosan.

“Sekiranya kita kreatif, kita boleh mencipta helah sendiri, bukan silap mata sebenarnya tapi ia lebih kepada kemahiran tangan, kepantasan dan kecekapan ketika mengadakan persembahan spontan,” katanya.