Nai Zura Mahamad
Nai Zura Mahamad

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu berlaku apabila arwah, Nai Zura Mahamad, 44, dikatakan tiba-tiba rebah ketika duduk di atas kerusi selepas 15 minit membuat persembahan Dikir Barat bersama guru-guru lain dalam acara diaturkan.

Guru Besar SKOT 1, Zulhadi Mahamad memberitahu, kejadian itu telah mengejutkan lebih 700 murid, guru dan kakitangan sekolah yang teruja meraikan sambutan tersebut.

Katanya, selepas arwah tidak sedarkan diri, pihaknya terus meng­hubungi pihak hospital, namun pasukan kecemasan mendapati mangsa te­lah meninggal dunia.

“Arwah mengajar­ subjek Bahasa Me­layu dan ber­khidmat selama 17 tahun di sekolah ini. Dia seorang guru yang ber­dedikasi dan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, suami arwah, Kamarul Azhar, 45, ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian isterinya kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

“Arwah sebelum ini sememangnya ada mempunyai ma­­­salah jantung dan pernah membu­at pembedahan pintasan jantung pada tahun 2009.

“Namun selepas itu, arwah tidak mempunyai masalah dan hanya mengalami keletihan biasa sahaja,” katanya yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas di sini.

Tambahnya, sebelum ini, arwah sihat serta menjalankan rutin seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang perubahan.

“Cuma malam tadi dia amat teruja untuk membuat persembahan sempena Hari Guru. Biarpun sibuk dengan urusan ha­rian, dia seorang ibu yang bertanggungjawab membesarkan empat anak kami yang berusia 12 hingga 21 tahun,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perangkap selepas solat asar hari ini.