Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman berkata, peruntukan tersebut kebanyakannya dalam bentuk bantuan secara terus untuk membantu menaik taraf kehidupan golongan itu.

“Pelbagai bantuan telah disediakan oleh kerajaan kepada golongan tersebut seperti bantuan 1Azam, baik pulih rumah, bantuan persekolahan dan banyak lagi.

“Bantuan yang disediakan ini adalah demi memastikan kebajikan mereka yang selama ini ba­nyak berkorban tenaga dan masa untuk menyediakan bekalan ikan kepada rakyat sentiasa terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-36 dan Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan, Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu di Dewan Serbaguna Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah LKIM negeri, Abdullah Ismail.

Dalam majlis tersebut, seramai 474 nelayan daerah ini menerima bantuan sara hidup RM300 setiap seorang.

Sementara itu, Zaluzi berkata, pihaknya memohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera masalah beting pasir yang memenuhi kuala Sungai Besar.

“Tindakan itu perlu dilakukan segera kerana beting pasir sejauh 100 meter itu telah menyebabkan nelayan sukar untuk ke laut.

“Jika masalah ini berlarutan, lebih 400 nelayan tidak akan dapat turun ke laut dan sekaligus menjejaskan ekonomi mereka,” jelasnya.