Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, peruntukkan tersebut adalah bukti komitmen Kerajaan Pusat untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran dan berpegang teguh kepada ajaran agama.

Beliau berkata, pada tahun depan, seramai 420 orang guru KAFA dilantik untuk bertugas di empat buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan murid-murid dari tahun 2 sehingga 5 menguasai asas fardu ain dengan sebaiknya.

“Ini adalah tanda cakna pihak kerajaan tidak meminggirkan guru KAFA dan akan terus me­martabatkan asas fardhu ain melalui tenaga pengajar. Setiap guru juga akan mendapat elaun bulanan sebanyak RM900 seorang.

“Dalam pembentangan bajet 2018 juga, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam termasuk guru KAFA. Kita seharusnya bersyukur dengan pemberian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Guru Kafa jajahan ini di sini semalam.

Seramai 12 orang guru terima Anugerah Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Cemerlang 2017 dalam majlis tersebut.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan , Sazali Ibrahim.

Dalam pada itu, Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Dabong menyeru agar semua guru melaksanakan tanggungjawab masing masing dalam memastikan agenda kerajaan me­lalui kelas KAFA supaya mampu mencapai objektif.

“Kelas KAFA adalah program ber­­konsepkan pengukuhan asas pen­­didikan Islam dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca al-Quran dan fardu ain ma­ka menjadi tanggungjawab guru-gu­ru untuk memastikan anak-anak generasi masa depan menguasai semua perkara tersebut,” katanya.