Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kewujudan dua prasarana tersebut membolehkan nelayan pantai mendaratkan hasil laut secara berpusat dan menjual terus kepada pembeli tanpa melibatkan orang tengah.

"Kita luluskan RM200,000 untuk pembinaan Jeti Kampung Pulau Gajah yang akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap hujung tahun ini.

"Sementara itu Pusat Tambatan Kampung Pulau Jambu pula yang akan menelan belanja RM60,000 dijangka siap dalam tempoh dua bulan ini. Jika ada kelewatan laporkan segera kerana pihak saya akan memantau sendiri perkembangan projek ini," katanya.

Tajuddin mengumumkan perkara itu semasa berucap di Program Ramah Mesra Bersama Penternak dan Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM), Saedon Abd Majid dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman.

Terdahulu, Tajuddin membuat lawatan ke Projek Kluster Ternakan Ikan Dalam Sangkar di Pantai Kundor di sini membabitkan 10 penternak yang mengusahakan 40 sangkar ikan siakap.

Projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) itu yang bermula Februari tahun lalu telah membawa pulangan sebanyak RM400,000 dalam tempoh semusim kepada penternak yang terlibat. - UTUSAN ONLINE