Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, program tahunan berpusat di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini menarik perhatian masyarakat kerana menawarkan pelbagai aktiviti keilmuan dan ibadah sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, sebanyak 1,200 pek berbuka puasa dan 400 hingga 500 pek sahur turut disediakan secara percuma kepada orang awam setiap hari.

“Sejarah program ini bermula pada 1994 apabila bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan solat jemaah isyak dan tarawih di dataran di pusat bandar untuk memudahkan peniaga dan orang awam yang tidak sempat ke masjid.

“Beberapa tahun kemudian lokasi solat dipindahkan ke pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV dengan program dijenama­kan sebagai Qaryah Ramadan sebelum dinaiktaraf lagi kepada Madinah Ramadan.

“Pada peringkat awal dahulu perbelanjaan sepanjang sebulan melibatkan kos kira RM400,000 sahaja tetapi dengan penambahbaikan setiap tahun kos kini meningkat kepada hampir RM2 juta,” katanya dalam majlis perasmian Madinah Ramadan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini semalam.

Pada majlis itu, Ahmad turut melancarkan Tabung Ihya Ramadan bagi pelaksanaan program itu yang berjaya mengumpul sumbangan pelbagai pihak sebanyak RM1.39 juta setakat ini termasuk peruntukan RM600,000 daripada kerajaan negeri.

Terdahulu Ahmad menunaikan solat Isyak dan tarawih berjemaah bersama hampir 1,000 jemaah yang telah dipimpin dua imam jemputan dari Mesir iaitu Hesyam Abdelbary Mohamed Rageh dan Yasir Al Syarqawi.

Dalam ucapannya, Ahmad berkata, beliau berharap umat Islam mengambil peluang mendalami al-Quran dan menghadiri program ilmu pada bulan mulia ini.

“Program-program ilmu pen­ting bagi menghalang fahaman liberal yang kini semakin menonjol daripada bertapak kerana ia akan membawa masalah besar kepada umat.

“Kecilkan masa kita mengutip maklumat daripada facebook dan WhatsApp sebaliknya rebut peluang untuk ‘melawat’ al-Quran dan mendalami khazanah yang ada di dalamnya,” katanya.