Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, daripada peruntukkan tersebut, sebanyak RM1.6 juta adalah untuk membaik pulih rumah manakala selebihnya untuk kos gotong-royong melaksanakan proses baik pulih.

Beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih itu akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat dengan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk setiap keluarga.

“Bantuan baik pulih ini membabitkan proses membaiki bumbung, lantai, ruang tamu dan din­ding rumah penduduk kampung.

“Kita usahakan bantuan ini di bawah peruntukan khas Perdana Menteri supaya rumah mereka dapat dibaiki segera,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Bantuan Baik Pulih Rumah di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kete­reh, Mohd. Azam Ismail.

Sementara itu, seorang pene­rima dari Kampung Hutan Pasir, Mohamad Yaacob, 63, berkata, dia bersyukur dengan bantuan yang diterima memandangkan bumbung rumahnya sudah lama bocor.

“Setiap kali hujan, rumah yang didiami saya bersama isteri, Ramlah Hussin, 62, dan anak yang sakit, Abu Bakri Mohamad, 33, akan dipenuhi air terutama­nya di bahagian tengah rumah.

“Saya amat bersyukur apabila menerima bantuan ini ke­rana saya tidak mampu untuk menukar bumbung baharu memandangkan saya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak seberapa,” katanya.