Ahli Lembaga Pengarah Kada, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, peruntukan besar tersebut merupakan salah satu usaha Kerajaan Persekutuan untuk membantu petani menambah pendapatan mereka.

Menurutnya, sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu program ini telah terbukti berjaya mengeluarkan para peserta daripada kepompong kemiskinan.

“Ada dalam kalangan para peserta sudah mampu menjana pendapatan bermula RM500 hingga RM3,000 sebulan.

“Bukan itu sahaja, ada para peserta yang mengusahakan dalam skala besar telah mence­cah pendapatan berjumlah RM5,000 setiap bulan dan pencapaian itu amat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan biri-biri kepada para peserta dibawah program industri bukan padi di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat di sini hari ini.

Seramai 20 peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong menerima bantuan biri-biri pada majlis tersebut.

Hanafi memberitahu, beliau berharap para peserta dapat memanfaatkan sebaik mungkin bantuan itu.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam membantu para petani untuk meningkatkan pendapatan me­reka.