Pelbagai faktor seperti tidak selesa disebabkan ahli keluarga terlalu ramai selain menjaga batasan pergaulan di dalam rumah menjadi antara sebab perantau yang pulang di kampung halaman lebih selesa memilih untuk tidur di hotel atau inap desa.
Dalam masa sama, musim perayaan dalam tempoh seminggu ini juga membuatkan pengusahapengusaha hotel tidak menang tangan memenuhi tempahan yang tinggi. Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON berhubung trend beraya di kampung dan, tidur di hotel sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menemubual para perantau dan pengusaha hotel sekitar bandar ini.

 

KOTA BHARU 3 Julai  -  Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konsep beraya di kampung, tidur di hotel dilihat menjadi trend dalam kalangan masyarakat di negara ini khususnya di Kelantan.

Situasi tersebut juga sudah merebak dan menjadi kebiasaan rakyat di negeri ini apabila ramai perantau yang pulang ke desa memilih untuk tinggal di hotel de­ngan alasan atas faktor ke­selesaan khususnya mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Menurut seorang tukang masak di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur, Abdul Haziq Abd. Rahim, 25, faktor keluarga yang ramai mendorongnya tidur di hotel setiap kali pulang beraya di kampung.

Dalam masa sama katanya, dia juga memberi ruang kepada adik-beradiknya yang sudah berkeluarga tinggal di rumah memandangkan kediaman mereka di Kampung Simpang Tiga Pengkalan Chepa di sini hanya mempunyai tiga bilik.

Justeru katanya, setiap kali Aidilfitri lebih 20 ahli keluarganya berkumpul di rumah tersebut dan keadaan itu bila tiba waktu malam akan menjadi berhimpit.

“Bagi saya meskipun tidur di hotel namun suasana hari raya itu tetap dirasai. Saya hanya tidur di hotel selebihnya masa saya luangkang bersama keluarga beraya di rumah termasuk rumah sanak-saudara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Haziq berkata, dia membelanjakan hampir RM1,000 sepanjang tiga atau empat hari untuk kos tidur di hotel.

“Trend tidur di hotel pada musim perayaan ini boleh dianggap biasa bagi masyarakat di sini yang mempunyai keluarga ramai dan situasi tersebut dilihat tidak janggal. Malah saya sudah tiga tahun tidur di hotel ketika pulang beraya,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Bagi seorang pekerja swasta, Muhamad Aamir Sabarin Ismail, 26, berkata, trend raya di kampung tetapi tidur di hotel atau inap desa adalah disebabkan ke­selesaan memandangkan ahli keluarganya yang besar.

Dia berkata, rumahnya di Pasir Mas hanya mempunyai dua bilik sedangkan setiap kali Aidilfitri lebih 40 orang ahli keluarganya berkumpul di rumah tersebut.

“Bayangkan bila semua ahli keluarga berkumpul, sudahlah rumah sempit macam mana hendak tidur dengan anak-anak lagi jadi sebahagian daripada ahli keluarga saya ada yang mengambil keputusan tidur di hotel-hotel berdekatan.

“Memang setiap kali raya, rumah saya penuh sesak. Bagi saya, lebih baik saya tidur di hotel dan ini tidak menjejaskan sambutan Aidilfitri di kalangan kami adik-beradik. Hotel ini hanya untuk tidur semata-mata,” kata anak ke­sembilan daripada 10 beradik itu.

Sementara itu bagi Abdul Ra­zak Mohd. Zin, 40, pula berkata, tidak timbul isu hubu­ngan renggang atau kurang akrab dalam kalangan ahli keluarga ekoran trend itu.

“Adik-beradik saya di kampung terlalu ramai, jadi memang sukar untuk memuatkan semua keluarga di dalam sebuah rumah. Bagaimanapun, ukhuwah sesama kami masih rapat apabila pada pagi raya semua berkumpul bersama.

“Dalam masa sama, kita juga perlu menjaga perbatasan pergaulan daripada segi aurat khususnya melibatkan anak-anak yang sudah besar,” katanya.