Tidak ketinggalan adalah war­ga Madrasah Muhammadiah Pon­dok Beta Hilir yang turut dijemput menjadi imam terawih dan menyampaikan tazkirah di beberapa buah masjid di Mukim Dewan Beta di sini.

Menurut salah seorang tenaga pengajar pondok itu, Mohd. Mah­yuddin Mohamad, seramai lima orang warga pondok termasuk beliau sendiri akan bertugas sebagai imam terawih jemputan tahun ini.

“Tugas kami biasanya bukan sekadar menjadi imam tetapi juga mengendalikan kelas tadarus sepanjang Ramadan.

“Jemputan sebegini memberi peluang kepada pelajar kami untuk berkhidmat secara langsung kepada masyarakat selain membina keyakinan diri mereka.

“Apa-apa saguhati yang kami dapat daripada pihak masjid pula sebahagian besarnya kami serahkan untuk pembangunan dan keperluan pondok," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Suhaimi Zahid, 25, yang berasal dari Nusajaya, Johor berkata, tahun ini adalah pengalaman kali keduanya menjadi imam terawih.

Jelasnya, pihak jemaah masjid selalunya mahukan mereka membaca satu juz al-Quran setiap malam semasa mengimamkan solat terawih sehingga khatam di penghujung Ramadan.

Menariknya, Suhaimi yang juga seorang pemegang Diploma Komunikasi Massa dari sebuah kolej swasta pernah bekerja dalam bidang teknologi maklumat selama enam bulan sebelum mengambil keputusan belajar di pondok pada 2013.

“Saya merasakan sangat perlu mendalami bidang agama dan keputusan ini juga disokong oleh ayah saya.

“Segala kemahiran yang saya ada dalam teknologi maklumat saya curahkan kepada pondok dan saya berharap dapat menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai seorang profesional yang tahu hukum hakam agama," katanya yang bercita-cita menyambung pengajian ke Timur Tengah.

Seorang lagi pelajar, Mohd Iqbal Faudi, 21, berasal dari Kuala Lumpur, hanya mula mempelajari al-Quran dengan sempurna sejak belajar di pondok itu pada 2014.

“Saya juga tidak sangka kerana kini mampu menjadi imam tarawih berkat bimbingan dan didikan para ustaz,” katanya.