Pengerusi Pertubuhan Muafakat Harapan Malaysia (Muafakat) negeri, Azran Deraman berkata, khabar tersebut secara tidak langsung memberi kelegaan kepada rakyat yang sebelum ini resah menantikan status sebenar ECRL kerana mereka berharap projek itu dapat diteruskan.

Ternyata kata beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) peka terhadap suara dan kehendak rakyat Kelantan yang selama ini amat dahagakan pembangunan.

“Sebagai pemerhati ekonomi dan perdagangan, saya melihat keputusan terkini oleh kerajaan berkenaan ECRL akan membantu merancakkan lagi pembangunan wilayah Pantai Timur dan Kelantan secara khususnya.

“Lebih-lebih lagi ia turut melibatkan Tok Bali iaitu satu lokasi yang harus ditonjolkan sebagai destinasi pelaburan baharu bagi kluster perikanan, perkilangan, khidmat sokongan industri minyak dan gas serta hub pembangunan industri sederhana dan besar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan projek ECRL yang sebelum ini tertangguh kerana dikatakan menelan perbelanjaan terlalu tinggi, akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 projek itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion, berbanding kos asalnya RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu berjaya dicapai setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azran berkata, langkah kerajaan mengadakan rundingan semula bagi mengurangkan kos pelaksanaan ECRL amat tepat memandangkan kos asal iaitu sebanyak RM65.5 bilion terlalu besar untuk ditanggung dan dikhuatiri bakal membebankan negara pada masa depan.

“Tun Daim Zainuddin sebagai wakil kerajaan Malaysia dalam rundingan semula di China tersebut pula dilihat telah berjaya memainkan peranan dengan amat baik dan segala usaha beliau wajar menerima pujian dan penghargaan semua pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE