Majlis penyerahan zakat itu telah disempurnakan oleh PengerusI Rakyat Holdings, Datuk Seri Jamil Salleh yang menyampaikan cek bayaran zakat kepada Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi di pejabat Maik di sini hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata, sehingga semalam sebanyak RM148.9 juta wang zakat telah berjaya dikutip sepanjang tahun ini.

“Kita menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM180 juta tahun ini dan yakin ia mampu dicapai dalam tempoh sebulan yang berbaki.

“Biasanya pada penghujung tahun ramai pihak sama ada korporat mahupun individu berlumba-lumba menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Jamil yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan pihaknya sedia menyiasat sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang khususnya dalam musim tengkujuh.

“Biasanya harga naik itu kalau ada laporan kami akan mengambil tindakan, pegawai penguatkuasa kita di seluruh negeri akan membuat semakan bagi memastikan sebarang aduan diterima benar.

“Kadang-kadang apa yang kita dapat daripada orang ramai ini hanya cakap-cakap sahaja kerana bila kita semak benda itu tidak berlaku walau bagaimanapun kita akan terus memantau,” katanya. UTUSAN ONLINE