Menurut remaja berusia 13 tahun itu, segala peralatan persekolahan yang diperlukan kini sudah mencukupi hasil bantuan orang ramai yang tampil memberi sumbangan sejak kisahnya dilaporkan oleh Utusan Online, semalam

“Saya terharu dengan sikap prihatin semua pihak yang menghulurkan bantuan barangan dan wang tunai.

“Saya sedar kemiskinan dan kecacatan fizikal yang dianugerahi Ilahi bukan penghalang untuk maju dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, keluarga Raja Amirul Mukmin yang tinggal dalam reban ayam organik yang ubah suai hari ini menerima kunjungan rombongan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang mewakili Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Nor.

Dalam kunjungan itu, setiausaha kerja kepada Kamaruddin iaitu T. Azmi T. Muhammad turut menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.

T. AZMI T. MUHAMAD menyampaikan sumbangan Datuk Kamarudin Md. Nor kepada Raja Amirul Mukmin di Kampu

T. AZMI T. MUHAMAD menyampaikan sumbangan Datuk Kamarudin Md. Nor kepada Raja Amirul Mukmin di Kampung Gong Tengah, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Pada sebelah petang pula, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Puteh, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar turut meluangkan masa bersama keluarga itu di samping menyampaikan sumbangan peribadinya.

Menurut Wan Marzudi, keluarga tersebut perlu dibantu untuk mengubah taraf hidup mereka yang miskin dan perkara itu secara tidak langsung mampu memberi semangat kepada Raja Amirul Mukmin untuk meneruskan persekolahan tanpa perlu risau bebanan perlu ditanggung ibu bapanya.

Semalam Utusan Online melaporkan Raja Amirul Mukmin yang mendapat keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Pentafsiran Sekolah Rendah (PPSR) merancang menolak tawaran melanjutkan pengajian ke SMS Machang kerana tidak mahu membebankan keluarganya yang miskin.

Tidak sampai dua jam kisah itu dilaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim memberi respons sedia membantu manakala Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) pula bersetuju membina rumah baharu yang lebih selesa untuk mereka. - UTUSAN ONLINE