Setiap malam, le­bih 2,000 bungkus nasi berlauk Kak Chik dibawa dari Tumpat merentas Banjaran Titiwangsa supaya penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur dapat menikmatinya semasa bersarapan.

Pengurusnya, Abdul Aziz Mat Salleh berkata, perniagaan itu dimiliki ibunya, Che Halimah Che

ABDUL AZIZ MAT SALLEH
ABDUL AZIZ MAT SALLEH 

Ahmad, 62, yang sebenarnya sudah menjaja nasi berlauk secara kecil-kecilan sejak dekad 80-an lagi.

“Pada tahun 2012 nama Kak Chik Kampung Berangan mula digunakan ibu secara komersial dan pada permulaannya nasi dimasak dari rumah, bagaimanapun beberapa tahun kemudian kami berpindah ke premis lebih besar di tepi jalan dan sehingga kini kami mempu­nyai 60 pekerja yang bertugas mengikut giliran sama ada di bahagian dapur atau tempat jualan setiap hari.

“Kami menjual lebih 5,000 bungkus nasi berlauk pelbagai jenis termasuk ikan, ayam dan daging setiap hari di negeri ini dan di dalam dan luar negeri dan jumlah itu mampu melonjak lebih sekali ganda pada waktu cuti dan musim perayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Berangan, di sini hari ini.

Jenama Kak Chik adalah antara kira-kira 10 pengusaha di daerah ini khususnya di Kampung Berangan dan Kampung Air Dingin yang mengeluarkan nasi berlauk secara komersial termasuklah jenama Husna, Firda, Nusi dan lain-lain lagi.

Abdul Aziz yang meletak jawatan sebagai kakitangan kerajaan pada 2016 untuk membantu ibunya berkata, hampir 90 penjual akan datang mengambil bekalan nasi tersebut sebelum Subuh atau Asar dan pihaknya memastikan peniaga kecil tersebut tidak menjual dalam jarak 10 kilometer dari lokasi masing-masing bagi mengelak persaingan sengit.

“Walaupun harga barang mentah seperti santan dan kertas meningkat namun kami tetap mengekalkan harganya RM2 sebungkus dan peniaga di Kota Bharu menjualnya antara RM3 sehingga RM4 manakala di luar negeri ini dijual sehingga mencecah RM7,” katanya.

Ketika ditanya mengenai rahsia keenakan nasi berlauk Kak Chik yang mampu bertahan lebih 12 jam tanpa bahan pengawet, Abdul Aziz berkata, faktor utama ialah tahap kebersihan yang tinggi ketika menyediakan makanan tersebut serta rempah istimewa.

Malah, katanya, nasi berlauk jenama itu pernah dibawa menempuh perjalanan jauh hingga ke Madinah secara tidak sengaja oleh peminatnya, namun tetap sedap walaupun sudah lebih sehari dalam kertas pembungkus.

“Proses menyukat dan mengadun rempah ratus yang digunakan untuk menggulai dan menggoreng lauk pauk adalah rahsia dan hanya dilakukan oleh empat orang sahaja iaitu saya sendiri, ibu, ayah, Mat Salleh Awang Teh, 70, dan kakak ipar, Masyitah Arifin, 43.

“Setiap hari kami menyediakan 20 liter adunan rempah ratus di rumah sebelum dibawa ke dapur kedai untuk digunakan tukang masak,” katanya.