Amalan Pyu secara tidak langsung mengubah stigma negatif masyarakat yang sering mengaitkan unsur khurafat seperti jampi serapah sebelum seseorang tok dalang memulakan persembahan wayang kulit sehingga bercanggah dengan ajaran Islam.


Menurut Mohd. Sulhie Yusoff, bapa kepada Pyu, apa yang dilakukan oleh anaknya itu sebelum memulakan persembahan merupakan salah satu bentuk manifestasi baharu dalam dunia wayang kulit.


“Ini adalah bentuk pendidikan baharu yang cuba saya tonjolkan menerusi Pyu supaya masyarakat tidak lagi memandang serong kepada persembahan wayang kulit.


“Sebagai pemain seni, saya tidak lagi mahu masyarakat menganggap wayang kulit masih lagi dipenuhi elemen-elemen kurafat yang boleh membawa imej tidak baik kepada Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Mohd. Sulhie memberitahu, selain itu dia turut mewajibkan Pyu untuk mengelak menggunakan bahasa-bahasa kasar dalam setiap persembahan wayang kulit.


Katanya, penggunaan bahasa kasar bercanggah dengan norma-norma kehidupan masyarakat walaupun ia pernah menjadi sebahagian darah daging dalam persembahan wayang kulit satu ketika dahulu.


“Saya mengambil perkara ini sebagai satu tanggungjawab dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat bahawa persembahan wayang kulit di alaf baharu lebih berintelek dan mempunyai mesej yang baik.


“Hasrat saya ialah untuk jadikan wayang kulit sebagai medium dakwah anak seni kepada masyarakat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE