Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, ikan puyu Darulnaim yang merupakan kacukan antara baka tempatan dan Thailand mempunyai potensi tinggi memandangkan saiznya lebih besar dari ikan puyu biasa dan mempunyai rasa setanding ikan eksklusif lain biarpun harga lebih murah.

Beliau berkata, pada masa kini bekalan ikan hibrid tersebut belum mencukupi untuk memasuki pasaran negeri lain justeru sejak sebulan lalu pihaknya telah memulakan projek menternak ikan puyu Darulnaim melibatkan 30 peserta di kawasan Parlimen Ketereh di sini.

“Kerajaan membekalkan peserta dengan benih anak ikan, makanan ikan dan peralatan membuat kolam serta latihan.

“Kita mahu tiru negeri Pahang yang mempunyai banyak restoran ikan air tawar khususnya patin, setakat ini sudah ada sesetengah hotel di negeri Kelantan sudah memperkenalkan menu ikan puyu hibrid,” katanya.

Beliau ditemui di Pertandingan Memasak Berasaskan Ikan Air Tawar (Ikan Keli) anjuran Jabatan Perikanan negeri sempena Ekspo Tani dan Hijau 2018 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Perikanan Cawangan Akuakultur negeri, Mohd Rafi Hasan.

Pertandingan memasak itu telah dimenangi dua sahabat karib iaitu Engku Zamilah Tuan Abdullah, 56, dan Nik Rohayati Seman, 43, dari Kampung Tok Ajam, Pasir Puteh dengan resipi mereka Ikan Keli Goreng Berlada. - UTUSAN ONLINE