Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan Pusat komited mahu membantu meringankan beban rakyat Kelantan dengan mewujudkan lebih banyak PPR di seluruh negeri.

Bagaimanapun kata beliau, jika PPR dibina di atas tanah tidak sesuai atau berada di lokasi tidak strategik, perkara itu hanya akan membebankan pembeli yang sememangnya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin meninjau projek perumahan kos rendah di

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin meninjau projek perumahan kos rendah di Desa Wira Jaya, di Pasir Mas hari ini.  - UTUSAN ONLINE/ ZAAIN ZIN

“Bagi membina lebih banyak PPR di negeri-negeri, kita sudah mengeluarkan dasar dan permintaan khusus kepada kerajaan negeri, iaitu supaya mereka dapat menawarkan tanah yang cantik selain terletak di bandar.

“Bayangkan jika tanah yang dikemukakan itu jauh dari bandar, sudah tentu kos sara hidup pemiliknya meningkat, sedangkan tujuan PPR diwujudkan adalah untuk mengurangkan bebanan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek perumahan kos rendah di Desa Wira Jaya, di sini, hari ini

Zuraida dalam pada itu memberitahu, setakat ini, belum ada senarai tanah di negeri ini dimajukan oleh kerajaan negeri kepada pihak kementerian untuk diteliti bagi tujuan membina PPR yang baharu.

Sebaik sahaja kerajaan negeri mengemukakan tanah yang dicadang, kita akan turun padang untuk melihat lokasinya,” katanya.

Mengenai status PPR Kota Bharu yang sudah lama siap, Zuraida berkata, daripada 1,000 unit rumah di situ, senarai lebih 400 pemilik terawal sudah dikeluarkan dan penyerahan secara rasmi kunci dijangka berlangsung bulan depan.

“Lebih 500 penerima lagi masih dalam proses memandangkan mereka perlu menjalani beberapa tapisan termasuk rekod bersih daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Selepas kita buka semula kepada orang awam untuk memohon unit rumah di PPR Kota Bharu, sebanyak 11,000 borang permohonan diterima dan daripada jumlah itu 4,000 permohonan terpaksa ditolak.

“Masalah sekarang, PPR Kota Bharu hanya menyediakan sebanyak 1,000 unit sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE