Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, beliau terkilan apabila mangsa banjir yang kehila­ngan rumah sejak tiga tahun lalu masih belum dapat menduduki kediaman baharu.

Katanya, perkara itu memberi bebanan kepada penduduk kerana masih belum mempunyai kediaman sendiri sehingga sekarang.

“Ketika ini rumah kediaman di kawasan baharu seluas 3.8 hektar itu hanya siap 80 peratus sahaja dan masih tidak boleh didiami lagi.

“Keadaan itu memaksa penduduk berdepan dengan bencana banjir setiap tahun apabila perlu berpindah ke bukit atau pusat pemindahan sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberi­ta selepas meninjau rumah kekal mangsa banjir yang dibina oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di sini hari ini.

Tambah Nozula, beliau berharap agar kerajaan negeri menyiapkan segera projek rumah itu untuk keperluan penduduk.

“Sepatutnya, kerajaan negeri harus komited untuk membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

“Mereka juga harus memberi kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.

Banjir gelombang pertama minggu lalu menyaksikan 22 buah rumah di Kampung Limau Kasturi ditenggelami air Sungai Galas.

Separuh penduduk telah memilih untuk berpindah ke atas bukit kerana pusat pemindahan sementara jauh daripada penempatan mereka.