Ketua Pengarahnya, Samsudin Noor berkata, projek perintis yang akan memberi nafas baru kepada pekebun kenaf itu akan bermula tahun depan dan kini masih di peringkat kajian.

Menurut beliau, sistem pe­napisan menggunakan tek­nologi moden yang pertama ini dapat memodenkan proses mengeluarkan produk berasaskan kenaf dan meningkatkan pengeluarannya.

“Sebelum ini produk kenaf itu hanya lebih banyak dieksport ke negara luar sebagai fiber, tetapi selepas ini akan banyak digunakan dalam negara.

“Pokok kenaf bermula dari daun, batang hingga ke bijinya boleh menghasilkan pelbagai pro­duk untuk pasaran dalam negara kerana menggunakan teknologi itu selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meras­mikan Projek Perintis Penyelidikan Penapisan air Kor Kenaf di Kilang Sawit Paloh 3, di sini, semalam.

Projek perintis Sistem Pe­napisan Air Cor kenaf itu menggunakan alat moden disediakan Japan International Cooperation Agensi (JICA) diketuai Pengarah Projeknya, Tatsuya Tobe.

Selain itu, projek itu turut mendapat kerjasama daripada Japan Limonite Co, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Samsudin berkata, projek menggunakan penapisan cara moden melibatkan kos keseluruhan lebih RM3 juta itu telah digunakan di Jepun dan baru diperke­nalkan di negara ini.

“Kita menggunakan dalam kapasiti percubaan satu tan metrik kenaf dahulu sebelum ditingkatkan kepada 10 kali ganda selepas ianya berjalan lancar.

“Ini bermakna untuk kilang di sini, boleh memproses 30 tan metrik kenaf sejam dan 40 tan kor kenaf ini bersamaan satu hektar yang memerlukan lebih banyak pengeluaran kenaf bagi tujuan itu,” katanya.

Tambahnya, pekebun kenaf di seluruh negara setakat ini mempunyai seramai 1,000 orang dan dijangka meningkat kepada 2,000 pekebun tahun depan.