Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini, kira-kira 15 keluarga yang terlibat dengan lokasi pembangunan telah selamat dipindahkan di kawasan penempatan baharu seluas 1.48 hektar sejak setahun lalu.

Kata beliau, turut selamat dipindahkan ialah lima kilang atau bengkel perusahaan serunding dan makanan tradisi yang kini beroperasi di tapak perindustrian sementara.

“Projek tebatan banjir Sungai Kelantan melibatkan Kampung Laut akan bermula tidak lama lagi dan kumpulan yang telah selamat dipindahkan ini ialah mereka yang berada di kawasan itu.

“Alhamdulillah, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara, projek ini tetap diteruskan dan berjalan lancar sebagaimana kita harapkan,” katanya selepas merasmikan kilang baharu Perusahaan Serunding Suzara Sulaiman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, pemilik perusahan terbabit, Wan Zainudin Wan Hamat.

Perusahaan Serunding Suzara Sulaiman merupakan salah satu pengusaha di Kampung Laut yang ditempatkan semula di lokasi baharu sementara menunggu Projek Kampung Warisan Pelancongan Kampung Laut siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Rosnazli Amin berkata, kerja-kerja membersihkan lokasi projek tebatan banjir Sungai Kelantan melibatkan Kampung Laut sedang giat dijalankan.

“Kawasan itu perlu dibersihkan sebelum 18 September ini kerana projek pembinaan tebatan akan bermukla tidak lama lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE