Setakat pukul 12.00 tengah hari ini, seramai 50 penderma darah telah hadir sejak program bermula pada pukul 8.30 pagi lagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman, pihaknya merancang menjadikan program komuniti itu sebagai acara tetap setiap tiga bulan sekali.

“Program hari ini adalah yang julung kali kita adakan dan masanya bertepatan dengan musim cuti perayaan di mana keperluan untuk bekalan darah meningkat.

“Kita akan laksanakan program kali kedua paling awal November ini di lokasi sama dan sekiranya terus mendapat sambutan ia akan menjadi acara tetap setiap tiga bulan sekali,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program itu turut dianjurkan bersama Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK, Pusat Perubatan An-Nisa (An-Nisa), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) negeri Kelantan dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) serta mendapat kerjasama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan PKINK, Mohamad Nasriff Daud; Pengerusi An-Nisa, Atira Ludin dan Pengerusi BSMM Kelantan, Tuan Ghazali Tuan Long.

Pihak penganjur turut menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma di samping hadiah cabutan bertuah seperti peralatan elektrik.

Orang ramai dialu-alukan untuk hadir menderma darah dalam program itu yang berlangsung di ruang legar UTC Kelantan sehingga pukul 5.30 petang ini. - UTUSAN ONLINE