Pada program tersebut para peserta bersama pemimpin masyarakat yang diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman mengayuh basikal menziarahi rumah penduduk setempat.

Aktiviti berbasikal kini menjadi sebahagian daripada kegiatan riadah yang semakin diminati penduduk di jajahan ini dan dalam masa sama riadah itu turut diterapkan dengan program kebajikan.

Sementara itu, Zawawi berkata, hampir setiap kampung mempunyai peminat riadah berbasikal malah mereka telah menganjurkan pelbagai program sama ada secara rasmi atau tidak untuk mengumpulkan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.

“Saya bangga dengan sema­ngat yang ditonjolkan pemilik basikal daerah ini kerana banyak acara termasuk kayuan amal Pa­lestin disertai semua pihak.

“Trend kayuhan tidak berfo­kuskan kejuaraan tetapi lebih berkonsep sukan amal dan kerja kebajikan. Hadiah bukan ukuran tetapi semangat dalam menjayakan sesuatu program untuk dilihat lebih meriah berjaya diserlahkan bagaikan satu kesatuan yang kental persefahaman dan perpa­duannya,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, riadah seperti itu memberikan impak yang amat positif kepada masyarakat terutama dalam memupuk gaya hidup sihat dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan.

“Saya meneliti perkembangan yang sihat ini dan perlu diberikan sokongan agar amalan beriadah diteruskan kerana memberi impak yang positif terhadap kesihatan diri.

“Pemuafakatan anggota komuniti menubuhkan kelab basikal di kawasan masing-masing turun mengukuhkan ukhuwah sesama sendiri dengan melibatkan pelbagai peringkat usia, tua dan muda menyertainya,” katanya.

Tambahnya, UMNO Bahagian itu menerusi Biro Sukan dan Rekreasi juga akan memastikan kegiatan sukan tempatan yang lain turut dibangunkan menerusi penganjuran liga bola sepak, sepak takraw dan sebagainya.