Naib Presiden Pemasaran dan Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, program itu bertujuan memastikan masyarakat di sekitar kawasan operasi Petronas mendapat perkhidmatan air bersih.

Menurutnya, ia adalah salah satu daripada program di bawah tanggungjawab sosial (CSR) Petronas bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Jabatan Alam Sekitar.

“Program ini dilaksanakan di kawasan yang betul-betul menghadapi masalah bekalan air bagi membantu mereka menikmati bekalan air yang bersih dan berterusan.

“Menerusi program ini, lokasi terpilih dilengkapi dengan pam air, sistem perpaipan, penapisan air, meter serta tangki air baharu,” katanya dalam Program ‘Water For Life’ di Kampung Simpang Tiga, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Zainal Abidin berkata, untuk program di Kampung Simpang Tiga, pihaknya telah memasang tangki air berkapasiti 200 dan 400 galon untuk 39 buah rumah.

“Ini membolehkan 200 peng­huni di sini mendapat akses kepada bekalan air yang bersih selepas program pertama yang telah kita laksanakan di Dabong, Kuala Krai.

“Di samping itu, program kese­daran juga dijalankan untuk mendidik penduduk me­ngenai pemulihan air dan risiko kesihatan yang berkaitan de­ngan penggunaan air yang tidak bersih,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Wan Mastura Wan Mahmood,36, berkata, dia amat berterima kasih dan bersyukur di atas inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Petronas.

“Petronas begitu prihatin terhadap masalah yang kami hadapi dengan membantu menyediakan bekalan air bersih yang berterusan,” katanya.